MERAIKAN 40 TAHUN GLAM ROCK MALAYSIA (1986-2026)
1. Tahun 2026 ini merupakan tahun yang amat penting kerana ekologi glam rock Malaysia meraikan ulangtahun ke-40.
2. 1986 bukan sahaja tahun yang melancarkan era glam rock Malaysia, namun merupakan tahun yang penuh ketulenan kerana semuanya bersifat “natural” dan masih belum diasak oleh tuntutan komersil (yang bermula secara beransur-ansur pada 1987).
3. Hanya dalam tempoh satu bulan iaitu Februari 1986, babak glam rock dilancarkan oleh tiga peristiwa penting.
Dua darinya lahir dari tangan Ali Bakar iaitu Konsert BOTB di Stadium Negara dan Konsert Dari Panggung Anniversari.
SEARCH- HEAVY CHAINS
4. Memanaskan lagi babak ialah pembukaan filem kultus, Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang penggambarannya telah dimulakan sejak 1985 lagi. KSJ juga merupakan lambang penyerahan baton dari era rock generasi lama yang ditandai oleh kumpulan-kumpulan seperti Sweet Charity, Unwanted, Blues Gang, Kembara dan dr Sam & Musafir.
5. Menyusuli pada tahun yang sama ialah rancangan Muzik-Muzik oleh TV3 – rancangan yang kemudiannya menjadi platform penting untuk kumpulan rock Melayu untuk membina populariti.
6. Walaupun babak rock sedikit tergendala berikutan pengharaman konsert terbuka setelah insiden BOTB Sungai Nibong, tahun 1986 ditutup dengan kelahiran siri Juara-Juara Rock yang dianjurkan oleh Lokman Junit. Pertandingan yang akhirnya dijuarai oleh May ini mencambahkan begitu banyak band rock yang mencari “pentas besar pertama”. Dari Infra Red di Kedah sehinggalah Metal Wizard di Pahang.
7. Demam yang sama turut melanda Sabah dan Sarawak. Antara band-band local yang menjadi sebutan ialah Heavy Duty yang berasal dari Miri dan Blue Jeans dari Tuaran.
8. Selain dari band-band yang melakukan kemunculan sulung pada 1986 menerusi Battle of The Bands dan Juara-Juara Rock, tahun itu juga menyaksikan kemunculan album “Langit dan Bumi “dari Search, album “Keadilan” dari Lefthanded, album “Anak Merdeka” dari Ella & The Boys dan album “Headwind 86”.
9. Wings juga melakukan kemunculan sulung pada tahun itu dan tidak dilupakan pelukis cover album rock, Boul yang mula mencuri tumpuan peminat dengan lukisan berus airnya. SYJ pula menjadi Raja Funfair apabila menjajah hampir setiap fun fair yang wujud sepanjang tahun 1986.
WINGS- MANCIS DAH BASAH
10. Bukan sahaja Malaysia, malah Singapura turut tidak terkecuali dengan tempias rock. Jika Malaysia mempunyai insiden Sungai Nibong, Singapura juga merasai penangan yang sama dengan kekecohan yang berlaku dalam Heavy Metal Festival pada September 1986.
Selebihnya adalah sejarah buat dua kumpulan pemula mereka, Rusty Blade dan Rockers.
RUSTY BLADE LIVE- TIADA LAGI AKU
11. Tidak ada tahun yang lebih “real” selain 1986. Ia adalah "tahun emas". Jika aku mempunyai terowong masa, ia adalah antara tahun yang ingin aku kembali.
12.Kerana itu, aku letakkan 1986 sebagai bab dan skop akhir dalam buku "65 Tahun Muzik Rock di Malaysia" (Siri 1). Walaupun pada peringkat awal, aku ingin menyudahkan buku itu dengan perkembangan sehingga tahun 1985 sahaja dan meletakkan 1986 sebagai pembukaan untuk buku Siri 2, aku terfikir juga kalau-kalau aku tidak diberi kesempatan menyiapkan buku Siri 2.
13. Jadi opsyen terbaik ialah memasukkan tahun 1986 bagi meletakkan konteks terhadap era transisi yang penuh gemilang itu.
Bagi yang ingin membaca lebih lanjut dan terperinci apa yang berlaku pada tahun 1986 itu, boleh dapatkan buku merah – “65 Tahun Muzik Rock di Malaysia” di SHOPPE..
Bagi yang ingin membaca lebih lanjut dan terperinci apa yang berlaku pada tahun 1986 itu, boleh dapatkan buku merah – “65 Tahun Muzik Rock di Malaysia” di SHOPPE..

No comments:
Post a Comment