PENGGAMBARAN FILEM TERGANGGU KERANA LABU BIN KUNDUR
Umum kita ketahui bahawa P.Ramlee terpaksa membayar hutang kepada Shaw Brothers gara-gara lambat menyiapkan filem Ibu Mertua-Ku (1962). Bayaran ini berbentuk mengarahkan 2 buah filem tambahan. Maka lahirlah filem Labu-Labi (1962) dan Nasib Si Labu Labi (1963).Menurut beberapa sumber, naskah Labu-Labi ini disiapkan dalam masa yang singkat dan P.Ramlee sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa skrip dan naratif Labu-Labi ini dibuat dengan "cincai" sahaja.
Selepas selesai pengambaran Ibu Mertua-Ku, perbincangan telah dilakukan bersama penolong pengarah S.Sudarmaji untuk membariskan para pelakon yang dirasakan sesuai. Pelakon-pelakon seperti Udo Omar, Mariani dan Rahimah Alias terpilih untuk membintangi filem ini. M.Zain dipelawa memegang watak utama selepas melihat M.Zain boleh bekerja dengan filem arahannya sebagai watak pembantu.
Semasa melakukan penggambaran filem ini, penolong pengarah S.Sudarmaji seringkali terganggu dan mengalami kesulitan akibat dari gangguan gelak ketawa P.Ramlee dan pekerja-pekerja studio.
Sehinggakan S.Sudarmaji terpaksa memberi perintah "cut" akibat pengarah filem ini merangkap pelakon iaitu P.Ramlee sendiri tidak dapat menahan ketawanya sehingga mengganggu suara percakapan pelakon lain. Babak yang paling banyak sekali dibuat berulang kali ialah ketika M.Zain mengenakan pakaian tukang masak mengakibatkan P.Ramlee tidak dapat menahan perasaannya dari ketawa.
Populariti M. Zain meningkat dan membawa tuah kepada karier lakonannya dan menjadi antara watak yang paling diingati sehingga kini. Boleh dikatakan P. Ramlee adalah individu yang bertanggungjawab dalam menaikkan nama M. Zain di layar perak. M. Zain selepas itu tidak pernah berpeluang lagi untuk berlakon di bawah arahan P. Ramlee kerana beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada bulan April 1964.
Teks: Mimin
Sumber :
Jejak Terbilang oleh Aimi Jarr (FINAS, 2007)
Gelanggang Film, Bilangan 16, May 1962
Berita Filem